Powered By Blogger

Titi guna lidi

Suku malam, dan menjadi perkara biasa untuk penghuni berjaga melestarikan hidup. Ada yang berbicara bahasa tuhan, ada yang sekadar mendongak teguk nikmat dari yang atas. Aku, cuma tak berbuat apa, cuma berfikir kosong. Kerugian yang entah keberapa ribu kali, sedangkan aku boleh isi dengan satu dua pengisian yang bermakna. 


Tapi, takpalah.


Alhamdulillah, dua dari enam bahagian di Perlis ini sudah aku lalu, terharung dengan sederhana. Dan syukurnya, aku tak pernah berjanji untuk meledak bahagian ini dengan cemerlang, kerana aku tahu diri aku sendiri dari segala perspektif. Dah selesai semua, aku sekarang terasa seperti Harry Potter, yang kembali ke dunia asal menunggu pulang ke Hogwarts. Tempat aku sendiri sekarang, aku terasa asing.


Aku terasa hilang. Hilang semuannya. Cuma ada beberapa individu baru yang hadir, melorek senyuman pada bibir separuh basah aku.


Sebelum ini aku pernah calitkan sebaris ayat yang ilmu tidak terhenti di pagar sekolah. Ya, berguni ilmu aku dapat setelah aku melangkah perlahan dari lorong itu. Juga kenangan yang aku tak berapa perasan tentang kehadirannya, tapi buat aku rindu satu hari nanti. Percayalah, kau juga sedang merasakan ini, bukan?


Terkadang aku, perlukan satu elemen yang berbentuk kehilangan. Baru aku sedar apa itu 'ada'. Tapi kebelakangan ini, aku sendiri tak tahu apa yang aku hendak, macam kabur kesemuanya. Ah, persetan semua itu, selagi boleh hidup,


kau kena tahu, ada orang sedang sayang kau dari belakang. Jika dunia ini adalah makmal, hidup kita adalah eksperimen. Semakin banyak eksperimen kau buat, semakin kau berjaya. Thomas Edison gagal berapa ribu kali sebelum mampu menerangi dunia?



















Tiada ulasan:

Catat Ulasan