Nyanyian serambi

Isnin, November 5 2018, 3.26am


Aku sedang berbaring, baru saja selesai menyelami alam permainan digital. Terkebil - kebil mataku sekarang cuba memahami kenapa aku enggan ke alam mimpi walhal sudah 12 jam dari hari aku diabadikan kepada tuan duit.

Tahun pun sudah hampi tamat. Umur 26 bakal ke 27. Masaku lebih banyak bersendirian kalau dibandingkan dengan tahun - tahun sebelumnya. Aku musykil, tak pernah aku fikir hari - hari seperti ini akan datang.

Abah ku yang sudah pulang ke Pencipta, sering kami ingati. Tinggal kami anak beranak mengenang semua peristiwa hitam dan putih. Masih aku ingat semasa aku umur 5 tahun, Abah berjalan kaki dari Sungai Sekamat ke Simpang Balak untuk mencari kelapa muda ketika aku demam panas. Semuanya maha cepat berlalu.

Hazli yang dulu kerap bergaduh dengan aku kini sudah menjadi auditor. Memakai motor dan kereta besar, telefon canggih, dan kerap menyebut angka puluhan ribu. Semuanya macam tak masuk akal. Aku masih ingat dia menangis kerana ditangkap mencuri duit aku.

Datang pula hal perhubungan. Aku kini dalam percintaan kedua seuumur hidup. Gadisnya baik, tapi kerap aku rasa seperti dia ada membuat sesuatu di belakang aku. Aku selalu keliru samada perlu untuk mempercayai dia sepenuhnya atau tinggalkan sedikit untuk naluri aku. Apa nasib aku ni?


Tahun ini genap lah empat tahun aku bersama Astro. Perjalanan beraama syarikat ini terasa singkat betul. Aku sendiri pun tak tahu apa berlaku selama empat tahun aku berada disitu. Janji dapat gaji



Gaji.

Tinggalkanmu Dengan Selamat

Salam sejahtera ke atas kamu.


Sudah dua hari 2018 berlalu. Aku kembali mengenang tulisan - tulisan terawal dahulu. Hampir tujuh tahun ya? Begitulah masa. Ia berganjak lalu manusia berubah.

Ramalan doktor untuk Abah hidup sekitar enam bulan dari bulan Disember 2017 ternyata salah. Lelaki ini telah pergi selamanya pada 26 Disember 2017, yakni enam hari selepas aku diberitahu dia menghidap penyakit barah pankreas tahap 4. Hidup aku menjadi kelam - kabut seketika. 

Orang tuaku sakit untuk dua bulan sebelum dia dijemput dengan aman sekali oleh malaikat Izrail. Aku sedih atas pemergiannya tapi hati ini redha. Melihatnya sakit dan menderita, tiada apa lagi yang boleh membunuhku dari melihat dia sedemikian rupa. Aku cuma rindu. Rindu ketika dia ada.

Di kala ini, terbayang ketika dia merotanku dengan sebatang kayu rambutan, sedang dia mengajar aku ABC. Segala - gala tentangnya mula muncul di benak aku, lalu jatuh ke dalam hati. Adakah kita boleh berjumpa lagi, Abah?

Dalam diam, aku berpuas hati. Aku ada disisinya dari hari pertama hingga dia mengucapkan kalamnya yang terakhir. Aku mandikannya. Aku solatkannya. 

Lalu aku simpannya di dalam liang lahad yang tak besar dari 7 kaki.

Semoga Abah aman sahaja di sana.


Terima kasih orang tuaku. 



Aku Ditimpa

Assalamualaikum.


Sudah hampir mencapai 2018. Pagar - pagar 2017 sudah hampir habis dipanjat malah tinggal beberapa hari sahaja lagi. Aku mula tidak percaya pada masa. 

Teorinya bumi berputar dan mengambil masa 24 jam untuk kitaran penuh. Manakala, 365 hari diperlukan untuk bumi mengelilingi matahari. Itulah indicator untuk masa.

Aku tidak percaya pada masa malahan aku membencinya. Dahulu setahun itu rasanya seperti didarab dengan 5. Semuanya kelihatan perlahan, tidak tergesa. Sekarang aku terasa seperti pelarian. Sentiasa berlari. Tak cukup masa, tak cukup tanah. 

Aku perlukan masa.

2017 adalah tahun aku berumur 25 tahun. Sudah bermacam hal baik elok dan tidak aku jumpa selama hidup suku abad ini. Hidup semakin bagus walaupun kehilangan nikmat melepak, tapi itulah kehidupan kan? Aku harap yang membaca ini pun mampu bertenang menghadapi cabaran hidup. Sesungguhnya kita adalah pelacur untuk terus hidup. Melacur bakat dan keringat.

21 haribulan Disember adalah antara hari tersedih aku. Abah disahkan menghidap kanser tahap 4. Hati aku luluh, langit terasa bagai nak runtuh, tanah macam mula merekah. Aku jadi seperti koma.

'Kanser'. Aku tak tahu kenapa ianya wujud. Aku hanya dengar melalui drama Melayu, tidak sekali menyangka ia akan menyinggah ke keluarga kami. Abah tenat, dia sentiasa lelah. Tak larat berbuat apa pun.

Aku kesal kerana kesakitannya tidak boleh dikongsi. Aku kasihan dia terpaksa melalui penderitaan itu seorang diri. Aku rasa derhaka.

Doktor menjangka Abah hanya boleh bertahan sekitar enam bulan. Yakni, sekitar Jun 2018 iaitu ketika Aidifitri menjengah. Aku tak sanggup menghadapi semua ini. Terlalu berat untuk mahkluk kerdil seperti aku.

Aku tak percaya aku takkan dengar bebelan Abah. Tak akan dengar dia bercerita tentang pengalamannya sewaktu menentang komunis sekitar pasca - kemerdekaan. 

Aku pasti rindu mendengar dia menutup gril pintu ketika tengah malam, hanya untuk memastikan kami selamat. Aku pasti rindu baunya. Doakan semuanya mudah buat keluarga kami.