Powered By Blogger

Kasihku

 10 Mei 2023

Aku sendiri lupa hari ini hari jadiku, dimana 31 tahun yang lepas ibuku sibuk seharian bertarung nyawa untuk melahirkan diri ini. Semoga emak dipanjangkan umur juga dirahmati Allah. 


Pada jam dan bulan ini, cuaca sungguh panas sekali. Aku hanya melayan perasaan di Youtube, menonton video arwah Saleem dari kumpulan Iklim. Lagunya Juwita, dinyanyikan live sekitar tahun 2007. 


Masih kuat dalam benak aku bahwa tahun 2007 lah tahun pertama aku dengarkan lagu ‘Juwita’ ini. Dengar pun secara tak sengaja dari telefon bimbit Sony Cybershot (harganya sekitar RM800 pada tahun 2007). 


Minggu ke bulan, manakala bulan ke tahun, aku masih gemar dengan lagu ini. 


7 Oktober 2022. Anak perempuanku lahir. Namanya Juwita. 


Semoga Juwita sentiasa menjadi juwita kepada Abahnya.



Bitcoin jatuh ke USD30k

24 Jun 2021, 3:29 pagi, Rabu. 


Sudah lebih kurang sebulan aku terperuk di rumah, di tempat yang asing dari mana aku berasal. Mujur ada isteri disisi.

Tahun ini tahun kedua di mana bangsa manusia melalui pandemik penyakit. Sepanjang aku hidup, beberapa kali wabak berlaku seperti SARS, MERS, dan virus nipah. Digabungkan semua, virus ini lain macam perginya. Kehidupan berubah, kebebasan ditarik. Bila bila masa boleh dibuang kerja. 

Jam ini, radio baru saja memutarkan lagu ‘Matahari’ karya Agnes Monica. Dengar dengar Agnes kini menetap di Amerika Syarikat, tapi kurang aku peduli pasal halnya. 

Sambung. 

Oleh sebab kekangan dari kerajaan untuk melepaskan aku pergi membanting tulang, takwim aku hanyalah di perbaringan, menonton, dan menggodek telefon bimbit. Di jam-jam sebegini, rasa rindu pada dulu. Tak tahu apa yang dirindukan, mungkin rindu ketika muda dan berkawan. 

Ketika masih kuat kesana sini. 


Aku harap kau semua sihat. Sampai jumpa lagi. 

Malam melankolik

Malam ini adalah antara malam - malam al-qadr untuk Ramadhan 2020, jam 1.03 a.m


Aku baru sahaja merancakkan fasa kehidupan aku dengan menikahi seorang gadis cantik dari Serting, Negeri Sembilan. Segala - gala tentangnya membuat aku cinta, sayang, dan rindu. Indahnya bukan kepalang, langsung tidak boleh diadili dengan taip-an di Blogger. Aku merindu dia walaupun bertentang mata. 

Di dalam seribu kegembiraan ini, Allah hadirkan sekelumit rasa sedih. 

Aku meninggalkan rumah ibuku buat selamanya. 

Fasa ini memerlukan aku untuk keluar dan menconteng kertas kehidupan aku yang baru. Segala benda yang dulu aku rasa biasa ketika di rumah ibu, menjadi kemanisan ketika difikirkan. 

Semuanya tidak boleh berulang kerana aku adalah suami. Aku merindui ibu dan segala kekurangan di rumah. Semoga Allah merahmati mu, Emak. 

Kepada isteriku, tiadalah janji selain aku akan bertanggungjawab kepada kau sehingga akhir hayatku. 



Anak yang menyayangi isteri dan merindui ibunya,

Efendi Johar