Powered By Blogger

Tinggalkanmu Dengan Selamat

Salam sejahtera ke atas kamu.


Sudah dua hari 2018 berlalu. Aku kembali mengenang tulisan - tulisan terawal dahulu. Hampir tujuh tahun ya? Begitulah masa. Ia berganjak lalu manusia berubah.

Ramalan doktor untuk Abah hidup sekitar enam bulan dari bulan Disember 2017 ternyata salah. Lelaki ini telah pergi selamanya pada 26 Disember 2017, yakni enam hari selepas aku diberitahu dia menghidap penyakit barah pankreas tahap 4. Hidup aku menjadi kelam - kabut seketika. 

Orang tuaku sakit untuk dua bulan sebelum dia dijemput dengan aman sekali oleh malaikat Izrail. Aku sedih atas pemergiannya tapi hati ini redha. Melihatnya sakit dan menderita, tiada apa lagi yang boleh membunuhku dari melihat dia sedemikian rupa. Aku cuma rindu. Rindu ketika dia ada.

Di kala ini, terbayang ketika dia merotanku dengan sebatang kayu rambutan, sedang dia mengajar aku ABC. Segala - gala tentangnya mula muncul di benak aku, lalu jatuh ke dalam hati. Adakah kita boleh berjumpa lagi, Abah?

Dalam diam, aku berpuas hati. Aku ada disisinya dari hari pertama hingga dia mengucapkan kalamnya yang terakhir. Aku mandikannya. Aku solatkannya. 

Lalu aku simpannya di dalam liang lahad yang tak besar dari 7 kaki.

Semoga Abah aman sahaja di sana.


Terima kasih orang tuaku. 



Tiada ulasan:

Catat Ulasan