Powered By Blogger

Aku Ditimpa

Assalamualaikum.


Sudah hampir mencapai 2018. Pagar - pagar 2017 sudah hampir habis dipanjat malah tinggal beberapa hari sahaja lagi. Aku mula tidak percaya pada masa. 

Teorinya bumi berputar dan mengambil masa 24 jam untuk kitaran penuh. Manakala, 365 hari diperlukan untuk bumi mengelilingi matahari. Itulah indicator untuk masa.

Aku tidak percaya pada masa malahan aku membencinya. Dahulu setahun itu rasanya seperti didarab dengan 5. Semuanya kelihatan perlahan, tidak tergesa. Sekarang aku terasa seperti pelarian. Sentiasa berlari. Tak cukup masa, tak cukup tanah. 

Aku perlukan masa.

2017 adalah tahun aku berumur 25 tahun. Sudah bermacam hal baik elok dan tidak aku jumpa selama hidup suku abad ini. Hidup semakin bagus walaupun kehilangan nikmat melepak, tapi itulah kehidupan kan? Aku harap yang membaca ini pun mampu bertenang menghadapi cabaran hidup. Sesungguhnya kita adalah pelacur untuk terus hidup. Melacur bakat dan keringat.

21 haribulan Disember adalah antara hari tersedih aku. Abah disahkan menghidap kanser tahap 4. Hati aku luluh, langit terasa bagai nak runtuh, tanah macam mula merekah. Aku jadi seperti koma.

'Kanser'. Aku tak tahu kenapa ianya wujud. Aku hanya dengar melalui drama Melayu, tidak sekali menyangka ia akan menyinggah ke keluarga kami. Abah tenat, dia sentiasa lelah. Tak larat berbuat apa pun.

Aku kesal kerana kesakitannya tidak boleh dikongsi. Aku kasihan dia terpaksa melalui penderitaan itu seorang diri. Aku rasa derhaka.

Doktor menjangka Abah hanya boleh bertahan sekitar enam bulan. Yakni, sekitar Jun 2018 iaitu ketika Aidifitri menjengah. Aku tak sanggup menghadapi semua ini. Terlalu berat untuk mahkluk kerdil seperti aku.

Aku tak percaya aku takkan dengar bebelan Abah. Tak akan dengar dia bercerita tentang pengalamannya sewaktu menentang komunis sekitar pasca - kemerdekaan. 

Aku pasti rindu mendengar dia menutup gril pintu ketika tengah malam, hanya untuk memastikan kami selamat. Aku pasti rindu baunya. Doakan semuanya mudah buat keluarga kami.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan