Powered By Blogger

berterusan seperti air

Malam ini sunyi. Tapi malam ini sibuk, sangat sibuk. Sibuk yang tak aku lahirkan untuk sepasang mata manusia melihat, cuma batin aku saja yang nampak. Aku diteman bunyi mesin kipas dari komputer aku. Dia meraung, marah gamaknya. Maaflah, aku tunggu kau keluarkan notifikasi 'aku dah penat' tapi kau gagal berbuat apa.


Jadi, aku relaks. Santai.


Wah banyaknya kerja. Banyak sangat, sampai tak tahu nak mula dari mana, nak tulis dari sudut apa. Aku cuba teliti satu - satu, kemudiannya pening yang singgah. Satu persatu kertas aku lapah isinya, akhir kata aku ambil keputusan. Keputusan untuk beberapa jam ;


aku relaks. Santai.


Tiba - tiba aku teringat setahun yang lepas. Setahun di mana tarikh itu tercatat sesuatu. Tarikh aku lahir. Aku sedaya upaya cuba mengimbas apa yang aku tengah lakukan pada saat itu. Biasanya jika ada tarikh penting, aku tuliskan dimana - mana. 


Tapi aku terlupa.


Aku ingat lagi, beberapa jam sebelum aku betul - betul meninggalkan sekolah rendah, aku ada tuliskan sesuatu pada buku kecil pemberian guru aku. Aku sedaya upaya menulis apa yang aku rasa pada masa itu,


apa yang aku lihat, 
apa yang aku dengar.


Begitu juga semasa hari terakhir aku memakai baju sekolah, ada aku tuliskan tarikh dan perasaan aku pada sehelai kertas. Entah apa yang aku fikir, tapi sampai satu masa aku ingin membacanya semula. Mungkin 10 tahun dari sekarang. Aku ingin rasa semula perasaan itu. Aku ingin.


Okay, sambung balik.


Aku sedang cuba mengingat apa terjadi pada hari jadi aku, pada satu tahun yang lalu. Kemudian aku jumpa sesuatu yang lebih berharga. Satu perkara dominan yang mungkin sebab utamanya selepas ini aku akan mula menulis di atas kertas, untuk belajar kembali. Aku teringat..


Aku teringat yang hari jadi aku adalah hari dimana ibuku terasa kepedihan dunia. Kepedihan dan kesakitan diiring jeritan untuk melahirkan aku.


Jadi, aku sambung membuat kerja. Sambung untuk jadi orang yang belajar, berterusan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan