Powered By Blogger

Hujan

Dari celahan tingkap di depan aku, sungguh aku boleh melihat cahaya pegun hasil pantulan cahaya dari matahari. Indah sekali. Macam bulan itu selamanya ada. Objek berbentuk bulat yang bercahaya, memberi sesuatu kepada seseorang untuk menangis, dan bergembira bersama.


Bukan semuanya indah.


Aku terlihat dua bayi dibuang tanpa kasihan. Aku jadi hampa, jadi terluka dalamnya. Bayi yang mungkin satu hari nanti akan menjadi seseorang yang memimpin tanah ini, nyawanya berakhir di longkang. Dua orang manusia yang disekolahkan sambil disuapkan dengan ilmu agama, mematikan segala akhlak biru itu di satu tempat yang bernama 'Longkang'.


Aku terasa, inikah takdir?


Merenung jauh dalam dimensi masa, ramai yang dibunuh akibat perang. Dingin dan salji, panas dan sejuk. Mereka mencucuk lalu menarik nyawa sesuka hati kerana emas yang berwarna hitam ; lahir dari perut bumi. Aku jadi kaget. Aku jadi terpegun seketika. Tanah yang manusianya beragama aku, ditindas bagai satu pun doa mereka tidak diterima.


Aku terasa, inikah takdir?


Aku selak helaian itu satu persatu. Satu bangsa yang dibenci membunuh para nabi. Mereka yang dulunya dibunuh dan hanya tinggal 600,000 orang di muka bumi kian bangun. Bangun melapah segala kesenangan di planet sfera ini. Manusia sebanyak pasir di darat mendoakan mereka, tapi tiada beza. Satu pun.


Aku terasa, inikah takdir?


Inikah takdir. Aku tak persoalkan, cuma aku lahirkan dari dalam hati. Aku tak mampu mengawal itu, kerana ianya datang secara spontan, secara bersahaja.


Lalu aku ternampak sesuatu.
Hujan.


Atas segala kekejaman, kezaliman, dan ketidak puasan hati dihapus dengan sesuatu. Tuhan ada, memberi rezeki, tuhan memerhati.


Tuhan menyampaikan mesej bahawa Dia ada, melalui 'hujan'.

1 ulasan:

  1. dan Tuhan akan sentiasa ada. cuma ada ketika, diam memerhati.

    BalasPadam